LAWATAN KE ESCAPE ADVENTURE PARK

       

Pelajar Tahun 2 SVM sekali lagi telah berjaya untuk melaksanakan dan menguruskan lawatan ke Escape Adventure Play pada 15 September 2017 yang lalu. Lawatan ini dibimbing oleh Puan Suriati Binti Rosli di dalam kursus BPP 4033, Lawatan Kerja.

Lawatan ini menyasarkan pelajar tahun 2 SVM dan pensyarah-pensyarah Jabatan Perniagaan. Pelbagai aktiviti menarik diadakan di sana dan pelajar dapat menghilangkan tekanan belajar dengan lawatan yang diadakan dan dapat belajar teknik baru dalam menguruskan sesuatu program atau lawatan.

Lawatan ini berjaya dilaksanakan dengan baik walaupun pelbagai halangan dihadapi seperti ketetapan tarikh dan keadaan cuaca pada tarikh lawatan diadakan.

 

PROGRAM DERMA DARAH BERSAMAMU

       

Pada 12 September yang lalu, Jabatan Perniagaan dengan kerjasama Pusat Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Raja Permaisuri Bainun telah mengadakan Program Derma Darah.

Program ini dirangka dan diuruskan oleh pelajar Tahun 2 DVM Pengurusan Perniagaan dengan bantuan Encik Azmi bin Zakaria di bawah kursus BPP 8033 Staff Performance Appraisal.

Program ini berlangsung dari 9.30 pagi hingga 3.30 petang dengan menyasarkan pelajar 18 tahun ke atas dan para pensyarah. Program ini bertujuan untuk memupuk sikap saling membantu antara satu sama lain dan mendedahkan kepentingan menderma darah.

Program ini berjalan dengan meriah berkat kerjasama semua pihak. Program ini berjalan lancar dari segi pengurusan dan mendapat pujian daripada pihak hospital.

 

BENGKEL GROOMING DAN SOLEKAN KE ALAM KERJAYA

Pada 5 September 2017 yang lalu, Program Pengurusan Perniagaan Kolej Vokasional Kuala Kangsar telah mengadakan bengkel grooming dan solekan diri yang menyasarkan pelajar Tahun 1 dan 2 Diploma kerana mereka merupakan pelajar tahun akhir.

Bengkel grooming dan solekan diri ini diuruskan oleh pelajar Tahun 1 SVM dan dipantau oleh Pn. Farah Syarafina selaku guru bagi kursus BPP 2043, Customer Liason. Bengkel ini dilaksanakan dengan bantuan Cik Amalina Binti Binti Abd Hamid yang merupakan pensyarah di Kolej Komuniti Taiping, Perak.

Bengkel ini dilaksanakan dengan pembahagian 2 sesi. Sesi pertama merupakan bengkel grooming dimana pelajar didedahkan dengan pakaian yang sesuai untuk dipakai ke tempat kerja serta tips penjagaan diri dan pakaian. Pelajar juga didedahkan dengan tips untuk kelihatan lebih yakin dan kemas.

Manakala sesi kedua merupakan sesi solekan diri bagi pelajar perempuan sahaja. Pelajar diajar cara bersolek dengan ringkas untuk ke pejabat agar tidak kelihatan terlalu menonjol. Cik Amalina juga memberikan tips penjagaan kulit wajah serta cara membasuh muka dengan baik

 

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA 2017

           

Pada 12 Julai 2017, Jabatan Perniagaan telah mengadakan Sambutan Hari Raya. Majlis ini merupakan salah satu sambutan tahunan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perniagaan. Majlis ini dilaksanakan di Jabatan Perniagaan dan dihadiri oleh semua pelajar dan pensyarah dari semua program yang terdapat di Kolej Vokasional Kuala Kangsar.

Majlis ini diuruskan oleh pelajar Tahun 2 SVM yang merupakan salah satu pembelajaran dalam kursus BPP 4014, Perancangan Kerja dan Latihan. Majlis ini dibantu oleh guru pelaksana iaitu Puan Suriati Binti Rosli.

Sepanjang majlis ini berlangsung, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti karaoke vaganza, pertandingan menganyam ketupat dan perlawanan pantun. Aktiviti ini mendapat sambutan dan kerjasama yang baik dari para pelajar dan pensyarah.

Guru pelaksana iaitu Puan Suriati memuji kelancaran majlis yang diuruskan oleh pelajar Tahun 2 SVM dan berpuas hati dengan kerjasama kumpulan yang ditunjukkan. “Sebagai pelajar di dalam Program Pengurusan Perniagaan ini, semua pelajar dididik dan diasuh untuk saling menghormati antara satu sama lain tidak kira senior atau junior. Ini akan mewujudkan satu jalinan kerjasama antara semua bagi menjadikan kejayaan sesebuah program itu.” katanya.

 

MAJLIS BERBUKA PUASA DAN SOLAT TERAWIH

                 

Pada 21 Jun 2017 yang lalu, Program Pengurusan Perniagaan Kolej Vokasional telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih Berjemaah bersama para pelajar dan pensyarah Pengurusan Perniagaan. Program ini dilaksanakan di Makmal 2 Bengkel Pengurusan Perniagaan. Objektif utama adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelajar dan pensyarah Pengurusan Perniagaan sendiri.

Majlis ini diuruskan oleh pelajar Tahun 1 SVM dan dipantau serta dibimbing oleh Pn. Farah Syarafina selaku guru bagi kursus BPP 2043 Customer Liason. Program ini dihadiri oleh tetamu jemputan yang merupakan bekas tenaga pengajar Pengurusan Perniagaan, En Ahmad Rafaie Bin Salahudin.

Majlis ini dimulakan dengan ucapan ringkas daripada Ketua Jabatan, Encik Fauzi dan diikuti dengan bacaan doa berbuka puasa. Seterusnya pelajar dan pensyarah berbuka puasa dan bersiap untuk menunaikan solat maghrib berjemaah. Selepas solat maghrib, En Ahmad Rafaie menyampaikan usrah ‘Fadhilat Ramadhan’ dan bersiap untuk solat Isyak dan Terawih berjemaah.

Program berakhir pada jam 10 malam dan pelajar serta pensyarah dijamu jamuan moreh. Ketua Program memuji semua pelajar dan pensyarah kerana menghadiri majlis ini dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang majlis berlangsung.

 

FAMILY DAY JABATAN PERNIAGAAN 2017

                 

Pada 18 Mac 2017, Jabatan Perniagaan telah mengadakan sambutan Hari Keluarga buat kali ketiga. Sambutan Hari Keluarga Jabatan Perniagaan akan dilaksanakan pada setiap tahun sebagai lambang penyatuan bagi warga Jabatan Perniagaan dan bagi menyambut pelajar Tahun 1 SVM.

Sambutan ini dilaksanakan oleh pelajar tahun 2 SVM dengan bimbingan dari Puan Siti Sakina Binti Ismail. Program ini dilaksanakan dengan meriah dan pelbagai aktiviti serta pertandingan menarik yang diadakan, seperti pertandingan tarik tali, pertandingan sukaneka dan pelbagai lagi.

Sambutan ini berakhir pada 12.30 tengahari dengan penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang serta ucapan penutup dari Ketua Jabatan iatu Encik Mohd Fauzi Bin Tasuki.