Pengurusan Perniagaan adalah salah satu daripada program yang ditawarkan di Kolej Vokasional Kuala Kangsar. Program Pengurusan Perniagaan ini dibuka pada 5 januari 2009 dengan menawarkan Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV) dan pelajar wajib mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sewaktu bergelar Sekolah Menengah Vokasional. Namun, setelah ditransformasikan menjadi Kolej Vokasional pada 1 Januari 2013, pelajar telah ditawarkan Diploma Vokasional Malaysia. Di bawah Jabatan Perniagaan, hanya satu program ditawarkan di kolej ini, iaitu Program Pengurusan Perniagaan.

 

Pada awal penubuhan, Panitia Pengurusan Perniagaan hanya terdapat 4 orang iaitu En. Mohd Fauzi bin Tasuki (Ketua Panitia), En. Mohd Shukri bin Suib, En. Jamal bin Syed Ramli dan En. Mohd Zambri bin Azizi. Kohort pertama terdapat hanya 25 orang pelajar diikuti seramai 24 orang pelajar tahun berikutnya. Kohort ketiga terdapat 26 orang pelajar dan keempat terdapat 28 orang pelajar.

 

Terdapat 4 buah komputer dan 1 buah mesin pencetak yang ditempatkan di dalam sebuah bilik lukisan autocad. Kini telah diubahsuai menjadi sebuah makmal komputer. Bermula tahun 2011, dengan pertambahan 3 orang tenaga pengajar yang baru iaitu Puan Azwa binti Abd Rashid, En. Mohd Azmi bin Zakaria dengan En. Ahmad Rafaie bin Salahuddin, Panitia Pengurusan Perniagaan kini semakin gah dengan peralatan yang semakin lengkap dengan 30 buah komputer, 15 buah mesin pencetak selari dengan memenuhi kompetensi dalam MPAV. Pada awal 2013, Makmal Pengurusan Perniagaan dinaik taraf dengan penambahan ruang pengajaran dan pembelajaran dan juga penambahan Makmal Komputer kedua.

 

Pemerolehan peralatan ICT telah diperolehi disamping mempunyai kelengkapan perabot dan pejabat. Bagi pengambilan pertama sebagai Kolej Vokasional seramai 17 pelajar telah menuntut di dalam program ini. Pada tahun 2014, seramai 29 orang pelajar telah diambil dan penambahan tenaga pengajar seramai 3 orang iaitu Pn. Sariza binti Baharom, Pn. Suriati binti Rosli dan Pn. Sakinah binti Ismail. Makmal Pengurusan Perniagaan semakin gah dengan mewujudkan Makmal Komputer baru dan peralatan pejabat yang lengkap seperti keadaan pejabat sebenar. Kemudahan lain juga diperolehi dari masa ke semasa seperti ruangan mesyuarat serta kemudahan penghawa dingin.

 

Pada tahun berikutnya, nama Program Pengurusan Perniagaan semakin terkenal di Kolej Vokasional Kuala Kangsar kerana keputusan pelajar yang cemerlang dan kelengkapan pembelajaran yang selesa. Program Pengurusan Perniagaan mempunyai 3 buah makmal Komputer, 1 ruang simulasi pejabat, kemudahan perpustakaan mini, kemudahan pantry, ruangan bilik simulasi serta ruangan simulasi mesyuarat. Peralatan lain seperti komputer, mesin pencetak serta mesin fotokopi juga mencukupi dan dapat digunakan oleh para pelajar. Ruangan belajar juga mempunyai kemudahan penghawa dingin dan layar putih bagi memudahkan lagi sesi pengajaran dan pembelajaran. Kemudahan seperti mesin faks, telefon, mikrofon, projektor dan sistem audio juga turut disediakan.

 

Kini, Program Pengurusan Perniagaan mempunyai 8 orang pensyarah iaitu En. Mohd Fauzi bin Tasuki (Ketua Jabatan), En. Mohd Azmi bin Zakaria (Ketua Program), En. Mohd Shukri bin Suib, Pn. Siti Sakina binti Ismail, Pn. Sariza binti Baharom, Pn. Suriati binti Rosli, Pn. Farah Syarafina binti Zaini dan Pn. Rashidah binti Tarmizi bersama 25 orang pelajar Tahun 2 Diploma, 29 orang pelajar Tahun 1 Diploma, 28 orang pelajar Tahun 2 SVM dan 25 orang pelajar Tahun 1 SVM.